Sunday, February 20, 2011

Bila Bahasa Slanga Dikomersialkan

“Jangan lupa mengunjungi karnival kami yang sure heboh, gempak, fuyoo beeb. Segala-galanya deboom. Cayer laa, best giler, ganda 23 broo”. Rasanya hampir semua di kalangan kita pernah mendengar sebahagian daripada perkataan yang dicondongkan dalam frasa di atas, kalau pun tidak kesemuanya. Saya yakin sebahagian daripada kita pula pasti akan tercengang untuk memahami makna yang tersurat dan tersirat di sebalik perkataan dan istilah yang digunakan.

Ada perkataan yang sengaja dieja mengikut bunyi yang biasa dituturkan oleh sekelompok masyarakat atau komuniti, ada perkataan yang diambil daripada bahasa Inggeris yang digabungkan dengan perkataan daripada bahasa Melayu, dan ada juga istilah-istilah baru yang dicipta untuk membawa maksud tertentu, atau istilah bahasa Melayu yang telah diubah maksud asalnya. Inilah yang dikatakan bahasa slanga, satu fenomena yang dilihat semakin berleluasa dalam masyarakat pada hari ini, tidak kira di mana sahaja, termasuk di negara ini.

Fenomena bahasa slanga ini sebenarnya bukanlah suatu yang baru, malah sudah wujud dalam masyarakat semenjak masyarakat tersebut dianggap mempunyai bahasa rasminya yang tersendiri yang digunakan dalam situasi formal, seperti dalam bidang pendidikan dan urusan rasmi kerajaan. Hal ini kerana bahasa slanga biasanya hanya digunakan di kalangan kelompok masyarakat tertentu dalam situasi yang tidak formal, seperti ketika berbual-bual dengan rakan-rakan, atau apa sahaja jenis komunikasi verbal yang berlaku antara kelompok tersebut.

Namun, dengan perkembangan pesat dunia teknologi maklumat dan komunikasi yang ada pada hari ini, bahasa slanga kini dilihat sudah menjadi duri dalam daging kepada bahasa rasmi atau bahasa baku di sesebuah negara. Lihat sahajalah bahasa yang digunakan dalam SMS, e-mail, dan komentar-komentar yang ditulis dalam blog, laman web, dan laman sosial, seperti Facebook dan Twitter. Sebahagian besar daripadanya ditulis dengan menggunakan bahasa slanga yang bercampur aduk dengan dialek yang kadang-kadang sukar untuk difahami.

(Nota : Artikel ini mengandungi 13 buah perenggan kesemuanya. Untuk membaca artikel yang selengkapnya, sila dapatkan majalah Al-Islam, Mac 2011, hlm. 58. Sekian, terima kasih).

Sunday, February 13, 2011

Cadangan Kepada Pihak Astro

Saya mengalu-alukan kenyataan pihak Astro bahawa rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia 9 adalah AF yang terakhir. Sehubungan itu, saya berharap pihak Astro akan mengambil kira perkara yang berikut apabila memutuskan untuk menggantikan rancangan tersebut dengan rancangan yang baru.

Dalam surah al-Syu’ara’, ayat 224 hingga 227, Allah Ta’ala telah menggariskan lima prinsip asas yang mesti diambil kira oleh setiap mereka yang terlibat dalam dunia seni dan hiburan, sama ada penyanyi, pelakon, pelawak, pengarah, komposer, penulis lirik, penulis lakon layar, penulis cerpen dan novel, penggiat teater, dan lain-lain. Lima prinsip asas tersebut ialah :-

1) Setiap karya yang dihasilkan mestilah menjurus ke arah keimanan terhadap Allah, atau mengajak masyarakat beriman dengan Allah, dan seterusnya menjauhkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik.

2) Setiap karya yang dihasilkan mestilah menjurus, atau mengajak masyarakat melakukan amal kebajikan dan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan, sama ada kepada diri sendiri, keluarga, dan masyarakat amnya.

3) Setiap karya yang dihasilkan mestilah ke arah mengingati dan memuji Allah Ta’ala, Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, dan orang-orang soleh. Termasuk dalam konteks memuji Allah ialah memuji ciptaan-Nya dan tanda-tanda kebesaran-Nya.

4) Setiap karya yang dihasilkan mestilah mengandungi elemen yang menolak sebarang bentuk kezaliman yang berlaku dalam masyarakat. Pendek kata, penggiat seni dan hiburan mestilah berani membela golongan yang tertindas yang telah dinafikan hak mereka oleh mana-mana pihak, sama ada kerajaan, majikan, dan sebagainya.

5) Setiap karya yang dihasilkan mestilah berani menegur pihak-pihak yang telah melakukan kezaliman, termasuk memberi peringatan kepada mereka tentang balasan dan azab yang akan diterima oleh mereka di akhirat nanti.

Dalam ayat yang sama juga, Allah mengingatkan penggiat seni dan hiburan agar menjauhkan tiga perkara yang berikut, iaitu :-

1) Menjauhkan diri mereka daripada menjadi penyebab kepada kesesatan peminat-peminat mereka. Jangan kerana kita sesat, kita pula menyesatkan orang lain pula.

2) Menghasilkan karya yang tidak membina minda, moral, dan akhlaq. Sebaliknya karya yang dihasilkan bersifat sampah, merapu, dan tidak keruan.

3) Melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan apa yang mereka katakan, atau lakonkan, atau apa yang mereka tulis. Contohnya, pelakon yang membawa watak baik dalam drama atau filem, tetapi menjadi seperti iblis ketika di luar layar perak.

Sekian untuk renungan bersama.

Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah

Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.